Benarkah lelaki sejati tidak boleh menangis?

Runtuhkah ego lelaki?
Oleh ADHAM SHADAN


KAUM Adam lebih mudah menangis apabila berasa terlalu
bahagia atau terlalu pilu. -



'LELAKI sejati tidak boleh menangis!' Kata-kata itulah yang bergema dalam diri kebanyakan lelaki sehingga mereka tidak selesa untuk mengeluarkan air mata di hadapan orang. Biar sepedih mana penderitaan, mereka lebih rela menangis di dalam hati.
Sejak kecil, lelaki dilarang untuk menangis. 'Kamu lelaki, mana boleh menangis'.

Kata-kata itu sering diucapkan orang tua ketika anak lelaki jatuh dari buaian di padang permainan atau diserang demam yang teruk. Yang pasti, kata-kata itu memberi kesan psikologi mendalam sehingga terbawa-bawa di minda lelaki yang dewasa.

Natijahnya, lelaki adalah golongan yang bijak merahsiakan perasaan.

TANGISAN lelaki lebih dilihat positif kerana mencerminkan
kejujuran. -

Menangis adalah pantang. Mereka bimbang jika mereka menangis, mereka akan dianggap tidak macho, lembik atau pondan. Lagi pula, kalau menangis di hadapan perempuan, sungguh memalukan!

Berasaskan kebimbangan itu, timbul persoalan iaitu benarkah lelaki sejati langsung tidak boleh menangis? Barangkali, inilah persoalan yang bermain di fikiran mereka tatkala mereka berusaha menahan air mata daripada tumpah atau lebih tepat mempertahankan ego mereka.

Jawapannya, tiada salahnya seorang lelaki sejati menangis. Mengapa? Ini kerana mengekspresikan emosi itu sendiri punya kebaikannya. Apabila anda meluahkan emosi dengan menangis, ia dapat melegakan ketegangan dalaman atau meredakan sebahagian sistem saraf dan mengembalikannya kepada keadaan normal.

Mungkin ini juga jawapan mengapa jangka hayat perempuan lebih panjang seperti yang difikirkan seorang pakar kimia, David Maillie yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun dalam kajian biokimia dan klinikal.



Tambahan pula, menangis membuatkan emosi anda lebih jelas. Luahan emosi yang tidak jelas boleh menjejaskan hubungan kerana bukan sahaja anda tidak pasti apakah perasaan anda bahkan orang lain juga menjadi keliru. Akibatnya, orang lain (terutamanya wanita) akan menganggap kurangnya emosi yang dipertontonkan sebagai tidak berperasaan.

Jangan anda fikir kebanyakan wanita akan menganggap anda kurang macho jika anda menangis. Hasil pelayaran penulis di forum-forum berkaitan di internet, turut memperlihatkan banyak juga reaksi positif oleh perempuan terhadap lelaki yang menangis.

Seorang rakan sekerja perempuan penulis secara spontan dengan menyifatkan lelaki yang menangis menampilkan kejujuran dan keberanian kerana sanggup melepaskan ego demi apa yang mereka rasai. Ia jauh daripada imej stereotaip lelaki yang digambarkan 'keras'.

Kenapa tangisan lelaki dikatakan jujur? Ini kerana, lelaki sejati hanya menangis dalam situasi yang benar-benar menyentuh hati mereka.

ajian oleh Psychologie Magazine pada tahun lalu menunjukkan wanita biasanya menangis kerana tidak dapat mengawal perasaan marah, takut dan kecewa berbanding lelaki. Di sebalik 'kegagahan' lelaki, kaum Adam ini dikatakan lebih mudah menangis apabila berasa terlalu bahagia atau terlalu pilu.

Penulis tertarik dengan sepotong ayat yang ditulis seorang isteri dalam sebuah forum berbahasa Inggeris.

"Suami saya telah menjadi tentera laut selama lapan tahun dan saya tidak pernah mempersoalkan kegagahannya untuk mempertahankan negara. Tetapi, dia boleh menjadi begitu sensitif dan mudah menangis pada perkara yang amat memilukan dan membahagiakan.

"Dia menangis pada hari perkahwinan kami, ketika anak perempuan saya dilahirkan dan apabila anak-anak saya mengucapkan perkataan buat kali pertama. Saya menyifatkannya satu anugerah mengagumkan apabila dia mempunyai emosi yang mudah tersentuh, namun masih gagah dan macho."

Kesimpulannya, tiada salahnya untuk lelaki menangis. Tetapi biarlah tangisan itu kena pada tempat dan masanya serta yang penting, tidak keterlaluan.

Bagaimanapun, satu kajian terbaru daripada Penn State University, Amerika Syarikat menunjukkan bahawa air mata lelaki kini lebih diterima berbanding perempuan. Kajian ke atas 284 orang itu mendapati, tangisan lelaki lebih dilihat positif kerana mencerminkan kejujuran sedangkan tangisan perempuan pula dilihat sebagai hilang kawalan.

Menurut kajian, televisyen juga memainkan peranan dalam hal ini. Program hiburan seperti realiti TV dan drama juga semakin banyak memperlihatkan lelaki menangis.

Barangkali ada benarnya tanggapan itu. Ketika lagu Real Man Cries dirakamkan kumpulan The Elms pada tahun 2001, lagu Big Girls Don't Cry nyanyian Fergie pula berkumandang mutakhir ini.

Tags:

No comments: